Sebanyak lima calon, termasuk penyandang Presiden, Alexander Lukashenko telah disahkan bertanding dalam pilihan raya itu.
Pengundi akan mengundi di 5,325 pusat pengundian di seluruh negara, dengan jumlah pemilih berdaftar dianggarkan seramai 6.9 juta orang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat negara.
Pilihan raya dianggap sah jika lebih separuh daripada rakyat yang tersenarai sebagai pengundi mengundi, dan ketua negara dianggap dipilih jika calon memperoleh sokongan lebih separuh daripada pengundi yang mengambil bahagian.
Pengundian awal bagi Pilihan Raya Presiden telah berlangsung dari 21 hingga 25 Jan. Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat pada Sabtu memaklumkan bahawa 41.81 peratus daripada pengundi berdaftar telah mengundi dalam sesi pengundian awal lima hari itu, yang dianjurkan bagi mereka yang tidak dapat mengundi pada hari pilihan raya.
Sementara itu, Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah, Kaja Kallas menyifatkan Pilihan Raya Presiden di Belarus sebagai "sandiwara", menurut agensi berita Jerman dpa.
Keputusan pilihan raya itu dilihat hampir pasti, dengan pemimpin autoritarian Alexander Lukashenko dijangka dilantik untuk penggal ketujuh.
Lukashenko telah "berpegang kepada kuasa" selama 30 tahun, kata Kallas dalam satu hantaran di platform X.
"Beliau akan melantik dirinya semula dalam satu lagi pilihan raya sandiwara. Ini adalah penghinaan terang-terangan terhadap demokrasi. Lukashenko tidak mempunyai sebarang legitimasi." tulisnya.
-- BERNAMA