NEW DELHI: Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa mengadakan perbincangan dengan menteri luar Mesir, Pakistan dan Turkiye untuk menyelaraskan usaha menamatkan pencerobohan Israel di Gaza dan Tebing Barat.

Pertemuannya dengan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Pakistan, Muhammad Ishaq Dar; Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan dan Menteri Luar Mesir, Badr Abdelatty diadakan di Jeddah pada Jumaat di luar sesi tergempar Majlis Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

Perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini dan situasi di Palestin, kata pejabat Mustafa dalam kenyataan pada Sabtu.

"Perdana Menteri Mustafa juga membincangkan mempergiatkan usaha untuk menghentikan pencerobohan pendudukan Israel terhadap rakyat Palestin dan mengumpulkan sokongan antarabangsa bagi rancangan Palestin-Mesir untuk pembinaan semula Gaza.

"Pelan ini telah diterima pakai semasa sidang kemuncak tergempar Arab di Kaherah dan disahkan oleh mesyuarat Menteri Luar OIC, mengukuhkannya sebagai inisiatif bersama Arab-Islam," menurut kenyataan itu. - BERNAMA