Beliau menekankan keperluan untuk kerjasama yang lebih kukuh bagi menangani cabaran keselamatan dan ekonomi bersama, memastikan rantau ini kekal berdaya tahan di sebalik ketegangan geopolitik yang semakin meningkat.
"Kami mengharapkan Malaysia untuk meneruskan kerjasama lebih erat dan memanfaatkan sepenuhnya mekanisme ASEAN sedia ada dalam menangani isu rentas sempadan yang mendesak dan memberi kesan kepada keselamatan serta kesejahteraan rakyat kita, seperti penyeludupan dadah, penipuan dalam talian serta jerebu rentas sempadan dan pencemaran udara ," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual bertulis.
Malaysia secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN 2025 pada 1 Januari, kali kelima ia menerajui kumpulan serantau itu sejak penubuhannya pada 1967. Malaysia sebelum ini pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Lebih 300 mesyuarat dan program utama dijadual berlangsung di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Mengenai perpaduan ASEAN, Paetongtarn menyuarakan keyakinan terhadap kepimpinan Malaysia, dengan menyatakan bahawa ia akan memainkan peranan penting dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
"Inisiatif Malaysia, seperti Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Campur China, mencerminkan komitmen ASEAN terhadap penglibatan strategik dengan rakan kongsi luar di tengah-tengah ketegangan global. Pendekatan ini akan membantu ASEAN mengemudi ketidaktentuan geopolitik dan geoekonomi," katanya.
Perdana Menteri Thailand itu berkata Thailand dan Malaysia, dua daripada lima negara pengasas ASEAN, perlu memberi keutamaan kepada pelaksanaan berkesan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang bakal diterima pakai tidak lama lagi bagi membina ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpusatkan rakyat.
"Sebagai Penyelaras ASEAN bagi Kerjasama Pembangunan Mampan, Thailand akan bekerjasama rapat dengan Malaysia untuk memajukan pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di seluruh rantau ini.
"Kami juga akan memperjuangkan inisiatif 'ASEAN Hijau', memastikan ia sejajar dengan visi jangka panjang ASEAN serta tema Kepengerusian Malaysia," katanya.
Ketika persaingan kuasa besar dan pertikaian serantau mengubah landskap geopolitik Asia Tenggara, Paetongtarn menekankan bahawa Thailand dan Malaysia mesti terus memainkan peranan proaktif dan membina dalam mengekalkan kestabilan dan daya tahan ekonomi ASEAN.
Beliau menegaskan bahawa kedua-dua negara mesti memperkukuh multilateralisme dan kerjasama serantau bagi memastikan ASEAN kekal bersatu serta teguh dalam menghadapi ketidaktentuan yang semakin meningkat.
"Bersama-sama, Thailand dan Malaysia boleh menerajui ASEAN dalam mempelbagaikan asas ekonomi, meningkatkan daya saing dan melindungi kepentingan kolektif rantau ini di pentas global," katanya.
Paetongtarn turut menekankan keperluan untuk kerjasama yang lebih erat dalam memupuk perkongsian strategik, mengekalkan pemusatan ASEAN serta mempromosikan keamanan dan kemakmuran serantau.
Beliau mengalu-alukan komitmen Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN untuk memperkukuh mekanisme utama serantau, khususnya Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan ASEAN Campur Tiga, bagi memperdalam dialog serta kerjasama ke arah kestabilan serantau yang lebih kukuh.
"Ini akan memainkan peranan penting dalam memajukan usaha Malaysia untuk meningkatkan kestabilan dan kemakmuran serantau di bawah kepengerusiannya. Thailand bersedia untuk menyokong sepenuhnya usaha ini," katanya.
Mengenai pelantikan bapanya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat tidak rasmi Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 Malaysia, Paetongtarn menjelaskan bahawa "beliau berkhidmat dalam kapasiti peribadi, dan sebarang pandangan atau pendapat yang dinyatakan dalam peranan ini adalah bersifat peribadi."
Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa pengalaman luas Thaksin dalam bidang politik dan perniagaan - khususnya pengetahuannya mengenai landskap politik ASEAN dan pembangunan serantau - boleh membantu meningkatkan kerjasama dalam kalangan negara anggota ASEAN.
"Sebagai ahli politik dan usahawan berpengalaman yang berpengalaman luas dalam hal ehwal ASEAN, terutamanya di negara jiran Thailand, saya percaya beliau boleh menyumbang kepada usaha memupuk kerjasama yang lebih erat dalam isu-isu yang memberi manfaat bersama kepada negara anggota ASEAN," tambahnya.
Pada 16 Disember, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelantikan Thaksin sebagai penasihat tidak rasmi bagi membantu Malaysia dalam peranannya sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Thaksin pernah berkhidmat sebagai Perdana Menteri Thailand dari 2001 hingga 2006.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)