Bersempena Hari Pers Nasional Indonesia ke-79, beliau mengakui cabaran yang dihadapi industri media, baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
Beliau menggesa pengamal media untuk mengutamakan kepentingan negara, kerajaan dan rakyat, serta berwaspada terhadap sebarang usaha untuk memanipulasi pandangan awam melalui pengaruh kewangan.
"Terdapat kecenderungan global di mana pihak yang memiliki kuasa kewangan besar mendominasi media dan mempengaruhi masyarakat di negara tertentu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Pers, Media dan Informasi Sekretariat Presiden (BPMI).
Sambil menegaskan komitmen pentadbirannya terhadap kebebasan media, Prabowo turut memberi peringatan mengenai bahaya berita palsu, penyebaran kebencian, ketidakpercayaan dalam kalangan rakyat dan usaha memecahbelahkan negara.
"Media harus sentiasa dinamik, bertanggungjawab dan memahami apa yang benar-benar menjadi kepentingan negara," katanya.
Prabowo turut menyampaikan ucapan tahniah kepada semua pengamal media di Indonesia atas peranan penting mereka dalam menegakkan demokrasi dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada masyarakat selama hampir lapan dekad.
"Saya amat menghargai dedikasi wartawan dan media profesional yang terus berkhidmat dengan penuh komitmen, meskipun berdepan cabaran yang semakin kompleks," katanya.
Industri media Indonesia bermula pada 1937 dengan penubuhan agensi berita ANTARA pada 13 Disember tahun itu.
Selepas beberapa tahun, ia berkembang pesat dan memainkan peranan penting dalam memperjuangkan kemerdekaan serta menyuarakan aspirasi rakyat.
Bagi menghargai sumbangan media, Presiden Soeharto mengisytiharkan 9 Februari sebagai Hari Pers Nasional pada 1985, yang kini diperingati setiap tahun di seluruh negara.
-- BERNAMA