KAHERAH: Presiden Palestin Mahmoud Abbas tiba di Kaherah pada Isnin malam bagi menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Arab, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Abbas dijadual menyampaikan ucapan di sidang kemuncak itu pada Selasa, membincangkan perkembangan terkini di Palestin, selain mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Arab di luar sidang.

Sidang kemuncak yang diadakan atas permintaan Palestin itu bertujuan menyelaras pendirian berhubung cabaran serta perkembangan yang berkaitan dengan perjuangan Palestin.

Ia juga bertujuan membina konsensus Arab dalam merangka pelan pembinaan semula Semenanjung Gaza demi mengelakkan penduduk Palestin di wilayah itu dipindahkan, mengukuhkan gencatan senjata di Gaza, serta membolehkan Negara Palestin menjalankan tanggungjawabnya di wilayah berkenaan.

Selain itu, sidang kemuncak ini turut berusaha mencapai kesepakatan dalam menghentikan tindakan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis serta memperjuangkan penyelesaian dua negara berdasarkan garis sempadan Jun 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

-- BERNAMA