Usahawan yang hadir mewakili pelbagai industri, termasuk tokoh terkenal seperti Anthony Salim, Sugianto Kusuma, Prajogo Pangestu, Boy Thohir, Franky Widjaja, Datuk Seri Tahir, James Riady, dan Tomy Winata. Perniagaan mereka merangkumi sektor seperti makanan, hartanah, tenaga, kewangan dan pembuatan.
Biro Akhbar Sekretariat Presiden dalam kenyataan memaklumkan pertemuan itu berlangsung dalam "suasana mesra dan produktif," dengan perbincangan meliputi beberapa bidang kritikal, termasuk dasar utama kerajaan untuk menyediakan makanan berkhasiat percuma, pembangunan infrastruktur, pengukuhan industri tekstil serta usaha mencapai sara diri dalam sektor makanan dan tenaga.
Perindustrian dan pengurusan pelaburan, khususnya melalui Agensi Pengurusan Pelaburan Danantara, turut menjadi antara topik utama perbincangan.
Prabowo turut merakamkan penghargaan terhadap peranan komuniti perniagaan dalam menyokong dasar kerajaan, terutamanya yang memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat.
"Pertemuan ini mencerminkan usaha kerajaan untuk membina komunikasi erat dengan komuniti perniagaan bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta menarik pelaburan yang dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan daya saing industri domestik," menurut kenyataan itu.
Turut hadir dalam pertemuan itu Menteri Sekretariat Negara Prasetyo Hadi dan Setiausaha Kabinet Teddy Indra Wijaya.
-- BERNAMA
