Bercakap di Sidang Kemuncak Liga Arab pada Selasa, Abbas juga berkata, beliau bersedia untuk mengadakan pilihan raya Presiden dan Parlimen jika keadaan mengizinkan.
"Pihak Berkuasa Palestin adalah satu-satunya kuasa pemerintahan dan tentera yang sah di Wilayah Palestin," katanya memetik laporan Reuters.
Dalam pada itu, Abbas memaklumkan akan mengeluarkan pengampunan am kepada semua mereka yang dipecat daripada gerakan Fatah yang mentadbir Tebing Barat.
Media antarabangsa pada Isnin melaporkan pemimpin negara-negara Arab berkumpul di Kaherah pada 4 Mac untuk membincangkan satu pelan alternatif bagi membangunkan semula Gaza tanpa mengusir penduduknya.
Trump sebelum ini mencetuskan kemarahan sejagat apabila beliau mengusulkan bahawa Amerika Syarikat harus mengambil alih Gaza dan mengubahnya menjadi "Gaza Riviera", dengan memindahkan penduduk Palestin ke Mesir dan Jordan.
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan kos membangunkan semula Gaza selepas konflik yang tercetus, melebihi AS$53 bilion.
