SONGKHLA: Projek jajaran jalan yang menghubungkan kemudahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dengan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir tahun ini.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi berkata pembinaan kompleks CIQ baharu di pihak Thailand telah pun disiapkan beberapa tahun lalu.

Namun, jajaran jalan yang menghubungkan kompleks baharu itu tidak dapat dimuktamadkan lebih awal berikutan beberapa halangan teknikal yang menyebabkan kelewatan, katanya.

"Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih tampuk kepimpinan, beliau mengeluarkan arahan dan secara aktif mendesak projek itu disambung semula.

"Selepas mengatasi isu teknikal, projek itu disambung semula pada 2023 dan kini dijangka siap sekitar Julai atau Ogos tahun ini," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand.

Beliau berharap projek itu dapat beroperasi sepenuhnya menjelang akhir 2025, sekali gus memberi manfaat besar kepada kedua-dua negara.

Sementara itu, mengenai pembinaan jambatan kedua yang menghubungkan Rantau Panjang di Kelantan dengan Sungai Golok di Narathiwat, Ahmad Fahmi memaklumkan bahawa projek itu kini berada dalam fasa akhir penyelesaian aspek teknikal sebelum pembinaan dimulakan.

"Pembinaan jambatan jauh lebih kompleks berbanding jalan raya kerana ia memerlukan penelitian rapi terhadap aspek keselamatan.

"Saya dimaklumkan bahawa projek ini kini berada di peringkat akhir penyelesaian teknikal dan selepas itu, kerja pembinaan akan dimulakan," katanya, sambil menambah bahawa projek terbabit masih mengikut jadual.

Ahmad Fahmi menekankan bahawa penyempurnaan serta pengoperasian kedua-dua projek ini akan memberi manfaat besar kepada Malaysia dan Thailand, termasuk meningkatkan jumlah perdagangan dan merancakkan industri pelancongan kedua-dua negara.

Beliau turut memaklumkan bahawa Thailand sedang merancang untuk menaik taraf kemudahan CIQ di Wang Kelian dan Padang Besar, yang bakal mempertingkatkan lagi hubungan rentas sempadan.

Pada 2023, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan negara ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai US$24.83 bilion (RM113.16 bilion).

-- BERNAMA