KYIV: Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio membincangkan perkembangan serantau dan antarabangsa dalam satu pertemuan di Jeddah pada Isnin.

Namun begitu, media tempatan di Saudi tidak menyebut isi perbincangan secara terperinci.

Terdahulu, Rubio tiba di Jeddah bersama penasihat keselamatan negara AS, Mike Waltz pada Isnin seterusnya dijangka bertemu dengan delegasi tinggi Ukraine pada Selasa dalam usaha untuk menamatkan perang di Ukraine.

Rubio memaklumkan beliau optimis mengenai pertemuan antara pegawai AS dan Ukraine meskipun mengakui masih banyak perkara perlu diselesaikan mengenai perjanjian mineral antara Washington dan Kyiv.

Rubio memberitahu, Washington perlu memahami kedudukan Kyiv dan mempunyai idea umum mengenai konsesi yang akan dilakukan.