RIYADH: Raja Arab Saudi Raja Salman berkenan meluluskan pengedaran 1.2 juta naskhah al-Quran, termasuk terjemahan dalam 79 bahasa kepada pusat Islam dan kebudayaan serta pejabat atase agama kedutaan Arab Saudi di seluruh dunia.

Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), inisiatif itu adalah sebahagian daripada program pemberian al-Quran oleh Raja Salman yang dilaksanakan oleh Kementerian Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan serta meliputi 45 negara sepanjang Ramadan.

Menteri Hal Ehwal Islam, Dakwah dan Bimbingan Sheikh Dr Abdullatif Al Alsheikh menzahirkan rasa terima kasih kepada Raja Salman serta Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri, Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, atas sokongan berterusan mereka dalam memberi khidmat kepada umat Islam di seluruh dunia.

Beliau menyifatkan naskhah yang diedarkan sebagai antara edisi terbaik dan dihasilkan dengan sangat teliti, mencerminkan dedikasi kepimpinan Arab Saudi dalam menyebarkan ajaran al-Quran dan memastikan umat Islam di seluruh dunia mendapat manfaat daripadanya, terutamanya semasa Ramadan.

Menteri itu turut menekankan sokongan berterusan daripada kepimpinan negara dalam memperkasakan misi kementerian untuk mempromosikan nilai sebenar Islam iaitu toleransi dan hidup bersama.

Semua persiapan logistik telah selesai dengan pengagihan akan dilaksanakan dengan penyelarasan pejabat atase agama, pusat berkaitan, serta pelbagai majlis dan organisasi Islam bagi memastikan penghantaran tepat pada masanya sepanjang Ramadan, tambahnya.

-- BERNAMA