BERLIN: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata rakyat Greenland ingin menjadi sebahagian daripada Amerika Syarikat (AS), menurut laporan wartawan yang mengiringi presiden itu di atas pesawat Air Force One pada Ahad, lapor agensi berita Jerman (dpa).

"Saya rasa isu Greenland akan selesai dengan kita. Saya rasa kita akan memilikinya. Dan saya percaya rakyatnya mahu bersama kita, seperti yang anda tahu. Terdapat 55,000 orang di sana yang mahu bersama kita," kata Trump.

Presiden AS itu turut berkata beliau tidak begitu memahami tuntutan Denmark terhadap wilayah autonomi itu tetapi menyifatkan sebarang penolakan oleh Denmark sebagai "tindakan yang sangat tidak mesra".

Perdana Menteri Greenland, Mute B Egede, sebelum ini menyatakan bahawa rakyat Greenland yang akan menentukan masa depan wilayah itu. Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, menyokong kenyataan itu.

Greenland, pulau bukan benua terbesar di dunia, memiliki autonomi di bawah naungan kerajaan Denmark, dengan Denmark bertanggungjawab terhadap pertahanan dan hal ehwal luarnya.

Wilayah itu mempunyai kedudukan geopolitik yang penting di Artik dan dipercayai kaya dengan sumber mineral penting.

Dalam kenyataannya, Trump berkata Amerika Syarikat akan "memiliki Greenland" kerana ia berkaitan dengan kebebasan dunia, dan Amerika Syarikat adalah satu-satunya kuasa yang mampu memberikan kebebasan itu.

Trump juga tidak menolak kemungkinan menggunakan kuasa ketenteraan atau langkah ekonomi, sambil merujuk kepada minat yang ditunjukkan oleh Rusia dan China, yang dilihat sebagai kuasa musuh oleh Amerika Syarikat. Ketika ini, Amerika Syarikat mempunyai pangkalan tentera di utara pulau itu.

"Ketika ini, terdapat kapal Rusia, kapal China, dan kapal dari pelbagai negara lain. Ia bukan situasi yang baik dan saya percaya kita akan memilikinya (Greenland)," katanya.

-- BERNAMA