NEW DELHI: Rancangan peluasan wilayah Israel telah menjejaskan kestabilan rantau Timur Tengah (Asia Barat), kata Pakistan pada Khamis dalam reaksinya terhadap gencatan senjata Gaza yang diumumkan sehari sebelumnya.

Pakistan menggesa pelaksanaan "gencatan senjata segera dan penuh."

"Diharapkan gencatan senjata ini akan membawa kepada gencatan senjata kekal dan membantu dalam meningkatkan bantuan kemanusiaan," menurut Kementerian Luar Pakistan dalam satu kenyataan.

"Penggunaan kekerasan secara sembarangan oleh tentera pendudukan Israel telah menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda yang tidak pernah berlaku sebelum ini serta pemindahan paksa ratusan ribu orang awam Palestin yang tidak bersalah. Rancangan peluasan wilayah Israel telah menjejaskan kestabilan seluruh rantau ini," kata Kementerian Luar Pakistan.

Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan mengakibatkan pembebasan puluhan rakyat Israel dalam tawanan Hamas serta ratusan tahanan Palestin yang dipenjarakan di Israel.

India adalah antara negara yang menyambut baik perjanjian yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar pada 15 Januari.

"Kami menyambut baik pengumuman perjanjian untuk pembebasan tawanan dan gencatan senjata di Gaza. Kami berharap ini akan membawa kepada bekalan bantuan kemanusiaan yang selamat dan berterusan kepada rakyat Gaza. Kami secara konsisten menyeru pembebasan semua tawanan, gencatan senjata, dan kembali ke jalan dialog serta diplomasi," kata Kementerian Hal Ehwal Luar India.

-- BERNAMA