Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Lapangan Terbang Metropolitan Washington, Jack Potter berkata, penutupan itu hanya melibatkan Reagan National Airport, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Dulles di ibu negara Amerika Syarikat (AS) itu beroperasi seperti biasa, lapor Xinhua.
Ketua Jabatan Bomba dan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan D.C, John Donnelly memaklumkan kepada wartawan, seramai 300 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi persekutuan dan negeri terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat itu.
"Ia merupakan operasi yang sangat kompleks. Keadaan di lokasi amat mencabar bagi pasukan penyelamat. Suhu sejuk dan angin kencang di sungai menyukarkan usaha mereka," katanya.
Bagaimanapun, pegawai di taklimat itu tidak memberikan maklumat lanjut mengenai jumlah mayat yang telah ditemukan di Sungai Potomac, tempat kedua-dua pesawat terhempas, dan setakat ini tiada mangsa yang terselamat ditemukan.
Syarikat penerbangan American Airlines yang mengendalikan pesawat penumpang terbabit berkata dalam satu kenyataan terdapat 60 penumpang dan empat anak kapal di dalam pesawat itu. Syarikat itu turut menyediakan talian penting untuk waris mangsa.
Beberapa atlet luncur ais turut berada dalam pesawat berkenaan, menurut Luncur Ais Amerika Syarikat pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif American Airlines, Robert Isom dalam satu klip video menyatakan, beliau akan berlepas ke Washington, D.C dalam masa terdekat serta menegaskan, syarikat penerbangan itu memberikan kerjasama penuh kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) yang sedang menyiasat insiden itu.
CNN melaporkan, tiga anggota tentera berada dalam helikopter Black Hawk itu, yang sedang menjalani latihan ketika perlanggaran berlaku, menurut Ketua Media Pasukan Petugas Bersama-Wilayah Capitol Nasional, Heather Chairez dalam satu kenyataan kepada pihak media.
Presiden AS, Donald Trump dalam satu kenyataan berkata, beliau telah menerima taklimat penuh mengenai insiden itu dan sedang memantau keadaan sebelum memberikan maklumat lanjut.
Kemudian, Trump dalam satu hantaran panjang di Truth Social menyifatkan nahas itu sebagai "situasi buruk yang sepatutnya dapat dielakkan."
"Pesawat itu berada dalam laluan pendaratan yang sempurna dan rutin ke lapangan terbang. Helikopter pula bergerak lurus ke arah pesawat untuk satu tempoh yang lama. Ia malam yang cerah, lampu pesawat terang-benderang, mengapa helikopter tidak naik atau turun atau membelok?
Mengapa menara kawalan tidak memberikan arahan kepada helikopter tetapi hanya bertanya sama ada mereka melihat pesawat itu?" tulis Trump.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada kenyataannya itu berdasarkan maklumat taklimat rasmi.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dalam kenyataan di platform sosial X berkata, Pentagon sedang memantau keadaan dengan rapi dan bersedia memberikan bantuan jika diperlukan.
Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat memaklumkan, perlanggaran di udara itu berlaku sekitar 9 malam waktu tempatan (0200 GMT Khamis), melibatkan sebuah pesawat penumpang yang berlepas dari Wichita, Kansas, dan sebuah helikopter tentera Black Hawk.
Susulan itu, semua pelepasan dan pendaratan penerbangan di Reagan National Airport dihentikan sehingga 11 pagi Khamis. - BERNAMA-XINHUA