TOKYO: Seorang remaja lelaki warga Jepun berusia 16 tahun telah diselamatkan daripada sindiket penipuan di Myanmar berhampiran sempadan Thailand, menurut pihak berkuasa Thailand pada Jumaat.

Menurut agensi berita Kyodo, kejadian ini berlaku sehari selepas pegawai Thailand melaporkan bahawa seorang lagi remaja Jepun, seorang pelajar sekolah menengah yang dipaksa bekerja di pusat penipuan panggilan berpangkalan di Myanmar, telah diselamatkan bulan lalu dan dibawa pulang ke Jepun.

Kedua-dua mereka adalah antara ramai mangsa asing yang dipaksa bekerja di kawasan sempadan, yang menjadi lokasi utama bagi aktiviti pemerdagangan manusia.

Thailand telah meningkatkan usaha untuk membanteras jenayah itu, termasuk memutuskan bekalan elektrik dan bahan api ke kawasan jenayah utama di seberang sempadan.

Pihak berkuasa Thailand berkata remaja Jepun yang diselamatkan itu, yang ditempatkan di bawah jagaan perlindungan pada Rabu, telah meninggalkan bandar sempadan Mae Sot bersama kakitangan Kedutaan Jepun.

Sementara itu, polis imigresen Thailand berkata mereka telah menahan seorang lelaki warga Jepun berusia 29 tahun yang disyaki telah memperdaya pelajar yang diselamatkan sebelum ini untuk bekerja di pusat panggilan di Myawaddy, sebuah bandar di Myanmar berhampiran Mae Sot.

Komander Pasukan Petugas Ratchamanu Tentera Thailand, Nattakorn Reantip, berkata lebih ramai warga Jepun berkemungkinan masih ditahan dalam operasi penipuan di seberang sempadan. Kenyataannya itu dibuat susulan penahanan empat individu rakyat Jepun minggu lalu yang disyaki terlibat secara sukarela dalam aktiviti tersebut.

Beliau menambah bahawa penggantungan bekalan elektrik Thailand ke Myanmar, yang bermula pada 5 Feb, telah meningkatkan tekanan terhadap sindiket penipuan. Kebanyakan kumpulan yang menjalankan operasi ini dipercayai terdiri daripada warga China.

Tidak lama selepas pemotongan bekalan elektrik itu, lebih 260 warga asing telah dibebaskan daripada sindiket penipuan di Myanmar. Sebuah kumpulan pemberontak etnik di negara itu kemudiannya menyerahkan mereka kepada pihak berkuasa di barat laut Thailand.

-- BERNAMA