ANCAMAN kebuluran di Gaza berjaya dielakkan buat sementara waktu berikutan peningkatan besar bantuan kemanusiaan yang memasuki wilayah itu semasa gencatan senjata.

Bagaimanapun Ketua Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tom Fletcher, memberi amaran bahawa ancaman tersebut boleh kembali, sekiranya gencatan senjata gagal dikekalkan.

Dalam wawancara bersama The Associated Press selepas lawatan dua hari ke Gaza, Fletcher memaklumkan bahawa ratusan trak membawa bantuan kemanusiaan memasuki wilayah itu setiap hari sejak gencatan senjata bermula pada 19 Januari.

Namun, kebimbangan terus meningkat mengenai sama ada gencatan ini dapat dilanjutkan kerana rundingan bagi fasa kedua yang lebih mencabar akan bermula tidak lama lagi.

Fasa pertama yang dijadualkan selama enam minggu kini berada di pertengahan tempoh pelaksanaan.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, Israel bersetuju membenarkan 600 trak bantuan memasuki Gaza setiap hari, peningkatan besar selepas berbulan-bulan penangguhan penghantaran bantuan.

Menurut Pejabat Kemanusiaan PBB, lebih 12,600 trak bantuan telah memasuki Gaza sejak gencatan bermula.

Fletcher menyeru kedua-dua pihak, Hamas yang kembali menguasai Gaza serta Israel, supaya mematuhi perjanjian yang katanya telah menyelamatkan begitu banyak nyawa.

Tahap kematian yang diiktiraf sebagai kebuluran oleh piawaian antarabangsa adalah dua atau lebih kematian setiap 10,000 orang sehari.

Fletcher turut menekankan keperluan mendesak bekalan makanan dan perubatan bagi wilayah yang didiami lebih 2 juta orang, kebanyakannya pelarian.

Beliau juga melahirkan kebimbangan tentang wabak penyakit akibat kekurangan bekalan kesihatan asas.

Selain itu, beliau menyeru supaya penghantaran khemah dan tempat perlindungan dipertingkatkan kepada mereka yang telah kembali ke kawasan rumah mereka yang musnah, memandangkan musim sejuk masih berterusan.

Fletcher mengakui bahawa sesetengah rakyat Palestin marah terhadap komuniti antarabangsa berikutan perang dan responsnya terhadap krisis tersebut.