Penyanyi bertaraf legenda yang berasal dari North Carolina, dan juga seorang pemain piano klasikal itu, menghembuskan nafas terakhir di kediaman keluarga pada usia 88 tahun.
“Kami amat berdukacita Roberta Flack meninggal dunia pagi ini. Pemergiannya dalam keadaan tenang dan dikelilingi ahli keluarganya. Beliau telah meraih pencapaian melepasi sempadan dan rekod. Beliau juga seorang pendidik yang berjiwa besar," ujar satu kenyataan dari wakil mendiang.
Dalam kenyataan itu bagaimanapun tidak secara khusus menyatakan lokasi Flack meninggal dunia.
Pada November 2022, bintang soul dan R&B itu didiagnosis menghidap sklerosis lateral amiotrofik (ALS) atau juga dikenali sebagai penyakit Lou Gehrig. Semenjak itu Flack menghentikan aktiviti nyanyiannya, sebelum kemudian diserang strok dan mengumumkan persaraannya dari dunia seni suara dua tahun kemudian.
Memulakan karier dengan menjalankan khidmat sebagai guru dan bekerja sambilan sebagai penyanyi kelab malam di Washington D.C., Flack kemudiannya menandatangani kontrak dengan syarikat rakaman Atlantic Records dan seterusnya melahirkan almbum debut, First Take, pada 1969.
Pemegang trofi anugerah Grammy itu pernah berkahwin dan kemudian bercerai dengan pasangannya Stephen Novosel pada 1972. Flack memiliki seorang anak lelaki, Bernard Wright, seorang penggiat muzik.
