Rubio dijadual memulakan lawatannya ke Jeddah pada Isnin selama tiga hari dan akan bertemu rakan sejawatannya dari Ukraine sebagai sebahagian daripada usaha Washington untuk menamatkan konflik.
Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman bagi membincangkan isu serantau serta langkah memperkukuh hubungan AS-Arab Saudi, menurut jurucakap Jabatan Negara, Tammy Bruce.
Selepas pertemuan itu, Rubio akan berlepas ke Charlevoix, Kanada pada Rabu bagi menghadiri mesyuarat menteri luar G7 selama tiga hari, yang bertujuan mengukuhkan visi dasar luar "America First" Presiden Donald Trump, kata Bruce.
Ketegangan antara Kanada dan AS semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu berikutan cadangan Trump untuk mengenakan tarif serta kenyataannya yang mencadangkan bahawa negara jiran di utara AS itu sepatutnya menjadi sebahagian daripada wilayahnya.
-- BERNAMA
