KAHERAH: Mesir pada malam Khamis mengumumkan bahawa rundingan intensif antara pihak yang terlibat dalam perjanjian gencatan senjata Gaza telah bermula di Kaherah bagi membincangkan fasa seterusnya, di tengah usaha berterusan untuk memastikan pelaksanaan perjanjian yang dipersetujui.

Delegasi Qatar dan Israel tiba di Kaherah bagi meneruskan rundingan mengenai gencatan senjata di Gaza, dengan penyertaan wakil dari Amerika Syarikat, lapor Anadolu Ajansi memetik Perkhidmatan Maklumat Negara Mesir.

Dalam kenyataan rasmi, agensi itu memaklumkan bahawa "pihak berkepentingan memulakan perbincangan intensif mengenai fasa seterusnya perjanjian gencatan senjata, selari dengan usaha berterusan untuk memastikan pelaksanaan persefahaman yang telah dipersetujui."

"Para perantara sedang membincangkan cara untuk meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan penderitaan penduduk dan menyokong kestabilan di rantau ini," menurut kenyataan itu.

Fasa pertama perjanjian gencatan senjata dijadual berakhir pada malam Sabtu, dan masih belum jelas sama ada Israel akan mencadangkan lanjutan fasa ini.

Fasa pertama gencatan senjata di Gaza bermula pada 19 Jan, menghentikan serangan Israel yang meragut lebih 48,300 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta memusnahkan wilayah itu.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas dakwaan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung kempen ketenteraannya di wilayah berkenaan.

-- BERNAMA