MOSCOW: Rusia merancang untuk menubuhkan kedutaan di tujuh negara Afrika dalam tempoh dua tahun akan datang, Menteri Luar Sergey Lavrov mengumumkan.

"Tiga kedutaan baharu telah pun dibuka di Afrika dan tujuh lagi akan ditubuhkan dalam tempoh dua tahun akan datang. Proses ini tersusun dan akan diteruskan secara berterusan," kata Lavrov kepada Duma Negeri, dewan rendah parlimen, menurut agensi berita TASS.

Menjelang 2026, Rusia berhasrat untuk membuka kedutaan di Gambia, Liberia, Comoros, Niger, Sierra Leone, Togo dan Sudan Selatan, beliau mengesahkan.

"Tujuh kedutaan baharu merupakan langkah penting," katanya, sambil menambah bahawa Rusia juga membuat pelarasan dalaman untuk mengurangkan pergantungan kepada bantuan belanjawan.

Lavrov juga mendedahkan, Kementerian Luar Rusia telah menubuhkan sebuah jabatan kedua bagi Afrika untuk mengukuhkan perkongsian di seluruh benua itu.

Jabatan Perkongsian dengan Afrika yang baru ditubuhkan akan beroperasi bersama Jabatan Timur Tengah, Afrika Utara, dan Jabatan Afrika Sub-Sahara yang dinamakan semula.

Pada 2023, Rusia membuka kedutaan di Burkina Faso dan Guinea Khatulistiwa.

Kerajaan juga telah mengeluarkan arahan untuk membuka semula misi diplomatiknya di Niger dan Sierra Leone dan menubuhkan kedutaan baharu di Sudan Selatan. - BERNAMA