"Ia menunjukkan bahawa Presiden Trump menyokong jenayah yang dilakukan Israel...," kata Callamard dalam satu kenyataan yang dipetik Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
"Perintah eksekutif hari ini adalah tindakan balas dendam yang agresif dan kejam, bertujuan melemahkan serta memusnahkan sistem peraturan global yang dibangunkan dengan susah payah selama berdekad-dekad, malah berabad-abad lamanya. Sekatan ini merupakan satu lagi pengkhianatan terhadap nilai kemanusiaan sejagat.
"AS kini bersedia menghukum sebuah institusi yang memastikan mereka yang paling bertanggungjawab atas kekejaman tidak terlepas daripada keadilan.
"Tiada seorang pun yang bertanggungjawab atas jenayah di bawah undang-undang antarabangsa patut dilindungi atau dibantu dalam usaha mereka mengelak kebertanggungjawaban, apatah lagi dengan sokongan kerajaan AS berdasarkan kepentingan politik Presiden Trump.
"Pada saat bersejarah ini, ketika kita menyaksikan genosid terhadap rakyat Palestin di Gaza, pencerobohan Rusia ke atas Ukraine dan ancaman terhadap kedaulatan undang-undang global dari pelbagai sudut, institusi seperti ICC amat diperlukan untuk memperjuangkan hak asasi manusia, mencegah kekejaman masa depan, serta memastikan keadilan bagi mangsa," katanya.
Menurut Callamard, serangan terhadap ICC ini bertujuan melemahkan usaha mahkamah itu dalam mendukung keadilan antarabangsa secara bebas.
"Sekatan ini bukan sahaja akan merosakkan usaha menegakkan kebertanggungjawaban tetapi juga menggalakkan pelaku jenayah masa kini dan masa depan.
"Ia akan memberi impak buruk kepada semua mangsa di seluruh dunia yang bergantung kepada ICC untuk mendapatkan keadilan, termasuk di negara-negara yang sedang disiasat seperti Darfur, Libya, Filipina, Palestin, Ukraine, dan Venezuela," katanya,
Beliau menegaskan bahawa ICC memainkan peranan penting dalam menyiasat jenayah di bawah undang-undang antarabangsa, terutama yang dilakukan oleh individu berkuasa, dalam keadaan tanpa penglibatan mahkamah ini, pelaku jenayah akan terus bebas tanpa hukuman.
"Sekatan ini juga merupakan penghinaan terhadap 125 negara anggota ICC yang secara kolektif memutuskan bahawa mahkamah ini mesti berfungsi secara berkesan - yang bermaksud ia mesti mampu menjalankan tugas kehakiman secara bebas, seperti mengeluarkan waran tangkap terhadap Benjamin Netanyahu atau Vladimir Putin."
Callamard menyeru kerajaan di seluruh dunia serta organisasi serantau untuk mengambil tindakan segera bagi menyekat kesan sekatan yang dikenakan Trump.
"Melalui tindakan kolektif dan bersepadu, negara anggota ICC boleh melindungi mahkamah ini dan kakitangannya.
"Tindakan segera amat diperlukan lebih daripada sebelumnya," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/71728293049_freesize.jpg)