MOSCOW: Sebuah pesawat yang membawa 21 penumpang terhempas di Sudan Selatan pada Rabu, mengorbankan 18 orang termasuk dua juruterbang, manakala tiga yang lain dilaporkan dalam keadaan kritikal, lapor Sputnik/RIA Novosti yang memetik South Sudan Eagles Media.

"Pesawat yang membawa 21 penumpang, termasuk juruterbang, terhempas ketika berlepas dari Kawasan Minyak Unity, mengorbankan 18 nyawa dan mencederakan tiga yang lain. Juruterbang dan pembantu juruterbang turut terkorban," menurut South Sudan Eagles Media dalam hantaran di platform X.

Antara penumpang ialah 16 warga Sudan Selatan, dua warga China dan seorang rakyat India, lapor stesen penyiaran Eye Radio yang memetik pelbagai sumber.

Pesawat yang dikendalikan oleh syarikat logistik Light Air Services itu dilaporkan sedang membawa jurutera dari telaga minyak Unity ke ibu negara, Juba.

Menurut saksi, pesawat itu berlepas dari telaga minyak berkenaan sebelum sayapnya patah, menyebabkan ia terhempas 10 minit kemudian.

-- BERNAMA