ANKARA: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan ratusan ribu terputus bekalan elektrik apabila ribut kuat serta banjir kilat melanda timur Amerika Syarikat, dengan Kentucky mengalami kerosakan paling teruk baru-baru ini, menurut laporan media pada Ahad.

"Ini adalah antara kejadian cuaca paling serius yang kami hadapi sekurang-kurangnya dalam tempoh sedekad," kata Gabenor Kentucky Andy Beshear, selepas mengesahkan bahawa sembilan daripada kematian berlaku di Kentucky, termasuk seorang kanak-kanak, manakala satu lagi di Georgia.

Ribut itu menyebabkan hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat, tanah runtuh serta penutupan jalan raya.

Pasukan penyelamat melaksanakan lebih 1,000 operasi menyelamat di Kentucky sahaja, dengan 19 pasukan penyelamat air dikerahkan ke beberapa daerah.

Beshear berkata semua 120 daerah di negeri itu terjejas, dengan dua rumah jagaan terpaksa dipindahkan, termasuk satu daripadanya yang memerlukan polis negeri memindahkan 100 pesakit.

Antara mangsa termasuk seorang ibu dan anaknya berusia tujuh tahun yang dihanyutkan arus deras ketika cuba meredah jalan yang ditenggelami air di Hart County, Kentucky, berhampiran Interstate 65, menurut pegawai.

Banjir itu turut menyebabkan hampir 40,000 penduduk Kentucky terputus bekalan elektrik, 9,800 kehilangan akses air bersih dan lebih 26,000 lagi terpaksa mematuhi arahan mendidihkan air sebelum digunakan.

Selain banjir, sebahagian negeri itu turut mengalami salji dan keadaan berais, menjadikan perjalanan lebih berbahaya.

Sebagai tindak balas terhadap bencana yang sedang berlaku, Beshear mengisytiharkan darurat dan meminta bantuan persekutuan.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump meluluskan pengisytiharan bencana kecemasan lewat Sabtu, sekali gus membolehkan dana persekutuan disalurkan bagi usaha menyelamat dan pemulihan.

-- BERNAMA