YANGON: Sembilan individu, termasuk kanak-kanak, cedera dalam letupan periuk api di Wilayah Tanintharyi, selatan Myanmar pada Selasa, lapor akhbar milik kerajaan, The Mirror, pada Rabu, menurut Xinhua.

Letupan periuk api yang dipasang oleh pengganas itu berlaku kira-kira 2.10 petang waktu tempatan pada Selasa ketika sebuah trak ringan yang membawa orang awam melalui kawasan berhampiran sebuah kampung di perbandaran Tanintharyi, menurut laporan itu.

Mereka yang cedera, termasuk seorang lelaki dan lapan wanita, telah dihantar ke Hospital Rakyat Myeik untuk menerima rawatan.

Pasukan keselamatan telah melancarkan operasi membersihkan periuk api di sepanjang laluan berkenaan serta mempertingkat kawalan keselamatan bagi memastikan keselamatan pengembara. Mereka juga bekerjasama dengan masyarakat setempat untuk meningkatkan keselamatan, menurut laporan itu.

-- BERNAMA