Dewan Tertinggi AS itu meluluskan pencalonan Ratcliffe dengan undian 74-25.
Ratcliffe sebelum ini berkhidmat sebagai Pengarah Perisikan Kebangsaan Trump selama lapan bulan terakhir penggal pertama beliau dan pernah menjadi wakil Dewan Perwakilan AS bagi Daerah Kongres Keempat Texas dari 2015 hingga 2020.
Sebanyak 21 Ahli Demokrat menyokong pencalonan Ratcliffe bersama Republikan, menunjukkan sokongan bipartisan dalam suasana politik yang berpecah-belah.
Namun demikian, Ketua Minoriti Senat Chuck Schumer menentang pencalonan Ratcliffe kerana beliau bimbang Ratcliffe tidak dapat menghadapi tekanan daripada individu seperti Trump dan pencalonan Trump untuk Pengarah Perisikan Kebangsaan, Tulsi Gabbard, "yang diketahui memalsukan maklumat perisikan."
Undian pada Khamis berlangsung tiga hari selepas Senat sebulat suara mengesahkan Senator AS dari Florida Marco Rubio sebagai Setiausaha Negara, hanya beberapa jam selepas pelantikan Trump, menjadikannya pelantikan utama kedua bagi pentadbiran baharu.
Ketua Majoriti Senat, John Thune telah mengatur undian untuk lebih banyak pencalonan Trump, termasuk Pete Hegseth, yang dicalonkan sebagai Setiausaha Pertahanan.
Hegseth menghadapi kritikan berhubung kekurangan pengalaman kepimpinan ketenteraan serta dakwaan penyalahgunaan alkohol, serangan seksual, dan salah urus kewangan organisasi yang pernah diterajuinya.
Thune mengkritik Demokrat kerana melambatkan proses kelulusan pencalonan Trump dan mendesak mereka mempercepatkan undian berkaitan perkara itu.
Republikan kini menguasai majoriti 53-47 di Senat.
Untuk mengesahkan pencalonan presiden, majoriti mudah diperlukan, bermakna Republikan hanya boleh kehilangan tidak lebih daripada dua undian jika semua Demokrat menentang pencalonan. - BERNAMA-XINHUA