Bercakap pada Sidang Kemuncak Perniagaan Kemboja-ASEAN 2025 di Phnom Penh pada Khamis, beliau menekankan, pelaburan itu merangkumi US$17 bilion untuk penyambung tara negara di rantau ini serta US$90 juta bagi kajian persediaan.
"Walaupun negera anggota ASEAN menerajui usaha pembiayaan, adalah penting untuk memberi keutamaan kepada pembiayaan bagi penyambung tara negara bagi mencapai integrasi penuh," katanya dalam ucapan penutup, seperti yang disiarkan oleh Sekretariat ASEAN.
Kao menjelaskan, APG akan merapatkan jurang antara negera maritim dan tanah besar ASEAN, menyelaraskan pelbagai rangka kerja kawal selia serta standard teknikal, dan mewujudkan landskap tenaga yang lebih saling berhubung serta berdaya tahan di Asia Tenggara.
Dengan memudah cara perdagangan elektrik rentas sempadan, APG akan meningkatkan keselamatan tenaga, menggalakkan pembangunan ekonomi dan menyokong integrasi sumber tenaga boleh diperbaharui, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan mampan rantau ini, katanya.
Mengenai perdagangan dan pelaburan, Kao berkata, ASEAN sedang berusaha menaik taraf perjanjian perdagangan bebasnya agar terus relevan dengan trend memuncul dan keperluan perniagaan, dengan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkatkan merangkumi aspek perdagangan digital, penyahkarbonan dan ekonomi kitaran.
Beliau turut menyatakan, rangkaian perjanjian perdagangan ASEAN yang semakin berkembang, termasuk dengan Australia, Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), New Zealand, China, India dan Kanada, mencerminkan komitmen ASEAN dalam mengurangkan halangan, menyeragamkan standard dan mengurangkan kos.
Selain itu, beliau menekankan kepentingan pembangunan modal insan melalui inisiatif seperti Hala Tuju ASEAN mengenai Pembangunan Sumber Manusia, dengan menekankan keperluan untuk kesaksamaan gender, pemerkasaan belia dan pembangunan kemahiran bagi menyesuaikan diri dengan kemajuan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan.
"Mobiliti profesional dalam ASEAN akan terus mengukuhkan kesalinghubungan serantau dan meningkatkan keunggulan daya saing kita," katanya. - BERNAMA
