SYDNEY: Pihak berkuasa negeri New South Wales (NSW), Australia pada Ahad memberi amaran kepada penduduk di utara negeri itu supaya bersiap sedia menghadapi angin kencang, ombak besar dan hujan lebat susulan jangkaan Siklon Tropika Alfred melanda pantai dalam minggu ini, lapor Xinhua.

Penolong Pesuruhjaya Perkhidmatan Kecemasan Negeri (SES) NSW Dean Storey berkata penduduk perlu membuat persiapan mulai sekarang.

"Kesan taufan dijangka bermula Selasa dengan angin kencang, ombak besar yang kuat dan hakisan pantai, diikuti hujan lebat yang berintensiti tinggi mulai Rabu," katanya.

"Jika berlaku banjir besar, penduduk mungkin diminta berpindah dari kediaman mereka. Kami meminta masyarakat mengambil langkah awal bagi memastikan mereka mempunyai rancangan untuk diri sendiri, keluarga serta haiwan peliharaan sekiranya perlu berpindah dan tahu ke mana hendak pergi."

Menurut SES NSW, kit kecemasan perlu mengandungi dokumen pengenalan diri, ubat-ubatan, air minuman, lampu suluh, pengecas telefon bimbit serta radio berkuasa bateri.

Sementara itu, penduduk di tenggara negeri Queensland turut diberi amaran supaya bersiap sedia menghadapi kemungkinan angin kencang, air pasang besar, hujan lebat berterusan dan banjir kilat.

Perdana Menteri Queensland David Crisafulli berkata sebahagian besar kawasan pesisir negeri itu dijangka terjejas.

"Amaran siklon tropika belum dikeluarkan buat masa ini, tetapi dijangka akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi. Saya meminta penduduk Queensland di kawasan terlibat supaya memberi perhatian terhadap perkembangan ini," katanya kepada pemberita.

"Jangkaan awal menunjukkan siklon ini mungkin melanda pantai sekitar pertengahan minggu ini. Namun, lokasi tepatnya masih belum dapat dipastikan," katanya.

Biro Meteorologi meramalkan Siklon Alfred akan terlebih dahulu melemah ke Kategori 1, membawa angin kencang dan hujan lebat ke tenggara Queensland, sebelum kembali menguat ke Kategori 2 ketika menghampiri pantai pertengahan minggu ini.

-- BERNAMA