Menteri Negara bagi Ehwal Dalam Negeri Sun Xueling memberitahu Parlimen pada Rabu bahawa pelbagai peruntukan di bawah akta itu boleh digunakan bagi mengekang campur tangan asing secara dalam talian yang didorong oleh algoritma, khususnya kempen maklumat bermusuhan yang dijalankan oleh pihak asing untuk mempengaruhi pilihan raya negara tersebut.
"Jika algoritma sengaja dimanipulasi oleh individu atau entiti asing, termasuk syarikat media sosial, untuk mempengaruhi politik domestik kita, ia akan dianggap sebagai campur tangan asing.
"Kerajaan akan berunding dengan syarikat media sosial sebelum Pilihan Raya Umum akan datang bagi mengingatkan mereka tentang keperluan untuk mematuhi undang-undang yang terpakai, terutamanya yang berkaitan dengan campur tangan asing," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen GRC Jurong, Dr Tan Wu Meng.
Menurut laman sesawang Kementerian Ehwal Dalam Negeri, di bawah FICA, arahan boleh dikeluarkan kepada perantara Internet, seperti perkhidmatan media sosial, untuk menurunkan kandungan mereka, menggantung atau menyahaktifkan akaun supaya kandungan itu tidak dapat dilihat oleh pengguna di Singapura. Kegagalan mematuhi arahan ini adalah satu kesalahan.
Sementara itu, Sun berkata Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian 2019 (POFMA) boleh digunakan bagi menangani penyebaran maklumat palsu di platform dalam talian sepanjang tempoh pilihan raya.
Di bawah akta itu, kerajaan boleh mengeluarkan arahan yang memerlukan penerbitan fakta yang betul.
"Selain itu, semua pengiklanan pilihan raya dalam talian semasa tempoh itu mesti mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Akta Pilihan Raya Parlimen 1954 bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti," katanya.
Di bawah undang-undang itu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya boleh mengarahkan platform media sosial untuk menyekat akses atau menghapuskan sebarang pengiklanan pilihan raya dalam talian yang melanggar peraturan berkenaan.
Dalam soalannya, Dr Tan bertanya sama ada kerajaan telah menilai potensi kesan platform media sosial entiti asing yang memanipulasi algoritmanya untuk sama ada memihak atau merugikan calon atau kumpulan tertentu, semasa atau sebelum pilihan raya umum diadakan.
Beliau juga bertanya sama ada undang-undang sedia ada seperti POFMA dan FICA mencukupi untuk menangani isu tersebut.
-- BERNAMA