Menteri itu memberitahu Parlimen pada Selasa, pengaturan penghantaran bantuan telah disahkan dengan rakan sejawatannya dari Jordan, Ayman Safadi, sehari sebelumnya.
"Ia akan diangkut menggunakan pesawat Pengangkutan Tangki Pelbagai Peranan (MRTT) Tentera Udara Republik Singapura (RSAF), dan kami akan menyerahkannya kepada rakan kongsi kami di Jordan," katanya ketika menjawab Soalan Parlimen yang dikemukakan Ahli Parlimen (MP) West Coast GRC, Ang Wei Neng.
Beliau juga menjawab soalan tambahan oleh beberapa MP lain.
Balakrishnan berkata, sejak bermulanya konflik Israel-Hamas pada Oktober 2023, Singapura dan rakyat Singapura telah menyumbangkan enam agihan bantuan kemanusiaan bernilai lebih S$19 juta.
Beliau berkata, Singapura akan terus menyumbang secara dua hala atau bekerjasama dengan pihak lain di rantau itu, memandangkan keperluan pembinaan semula yang signifikan untuk Gaza.
"Kami juga bersedia, melalui Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkatkan kami, untuk menyokong program latihan di Gaza, dengan kerjasama Pihak Berkuasa Palestin," tambahnya.
Sementara itu, menteri itu berkata, fasa dua dan fasa tiga gencatan senjata Hamas-Israel akan sangat rumit dan bergantung pada kemahuan politik dan keberanian para pemimpin di semua pihak.
"Terdapat peranan yang sangat terhad bagi kita di sini, berkenaan dengan isu itu. Kedua-dua pihak Israel dan Palestin yang telah kita libatkan mengetahui kedudukan kita. Kita berdiri untuk keamanan. Kita berdiri untuk pembangunan," katanya.
Balakrishnan berkata, Singapura menggesa semua pihak untuk mematuhi terma perjanjian, terutamanya untuk membolehkan bantuan kemanusiaan mengalir, yang penting untuk mengurangkan situasi kemanusiaan yang teruk.
Beliau berkata, penghantaran bantuan tanpa halangan mesti diteruskan, dan menggesa semua pihak untuk mencapai persetujuan bagi fasa-fasa seterusnya untuk mencapai gencatan senjata kekal, pembebasan semua tebusan, dan untuk membolehkan pembinaan semula Gaza dalam jangka panjang. - BERNAMA