Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) memaklumkan bahawa "Kod Amalan untuk Keselamatan Dalam Talian ADS" ini akan berkuat kuasa mulai 31 Mac dan terpakai kepada ADS yang mempunyai capaian atau impak ketara seperti Apple App Store, Google Play Store, Huawei App Gallery, Microsoft Store dan Samsung Galaxy Store.
Kategori kandungan berbahaya yang dikenal pasti termasuk kandungan seksual, keganasan, bunuh diri dan mencederakan diri, pembulian siber, ancaman kepada kesihatan awam, serta kandungan yang memudahkan kegiatan maksiat dan jenayah terancang.
"Singapura adalah antara negara pertama yang mewajibkan pengesahan umur bagi ADS, termasuk menyekat kanak-kanak daripada mengakses dan memuat turun aplikasi yang tidak sesuai berdasarkan penilaian umur yang ditetapkan oleh ADS terbabit.
"Dalam beberapa bulan akan datang, IMDA akan terus berinteraksi dengan ADS yang terlibat bagi pelaksanaan langkah pengesahan umur. ADS terbabit perlu mengemukakan pelan pelaksanaan kepada IMDA," menurut kenyataan itu.
Kod itu juga menghendaki gedung aplikasi melaksanakan langkah perlindungan seperti kawalan ibu bapa, penyelarasan kandungan dan alat pelaporan bagi memastikan kanak-kanak dapat meneroka, belajar dan berkembang dengan akses kepada kandungan yang sesuai dengan usia mereka, kata Menteri Pembangunan Digital dan Penerangan Josephine Teo, dalam hantaran di LinkedIn.
Sebelum pelancaran kod ini, IMDA mengadakan konsultasi awam pada Oktober 2024 dan menjemput ADS untuk memberikan maklum balas.
IMDA turut memaklumkan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama rapat dengan industri mengenai keperluan pengesahan umur dan pelaksanaannya, dengan mengambil kira amalan serta piawaian industri dan antarabangsa.
ADS yang gagal melaksanakan langkah-langkah itu berisiko disekat di Singapura di bawah Akta Penyiaran, lapor The Straits Times.
Pengesahan umur merujuk kepada sistem atau proses yang digunakan untuk menentukan umur seseorang atau julat umur mereka, termasuk penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan, algoritma analisis usia wajah, atau pengesahan melalui sumber yang disahkan seperti ID digital atau butiran kad kredit.
-- BERNAMA