Suruhanjaya itu akan melancarkan langkah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini bagi menangani isu birokrasi, menurut draf kertas strategi yang diperoleh dpa.
Langkah pertama dijangka diumumkan pada Februari dan akan melibatkan pemudahan keperluan pelaporan berkaitan pembiayaan lestari serta usaha wajar.
Ini kemungkinan sebagai contoh melibatkan undang-undang rantaian bekalan Kesatuan Eropah (EU), yang bertujuan memastikan syarikat besar bertanggungjawab sekiranya mendapat keuntungan daripada amalan buruh kanak-kanak atau buruh paksa di luar blok berkenaan.
Media seperti portal Euractiv dan akhbar kewangan Jerman Handelsblatt sebelum ini melaporkan draf dokumen yang dikenali sebagai "Kompas Daya Saing" itu.
Dalam dokumen sepanjang 20 halaman itu, suruhanjaya itu menggariskan keutamaan untuk tempoh dua tahun akan datang. Selain usaha mengurangkan birokrasi, ia juga bertujuan mempromosi pelaburan dalam teknologi masa depan seperti kecerdasan buatan (AI), memperkukuh sokongan terhadap teknologi mesra alam, serta menurunkan harga tenaga.
Draf itu turut menegaskan komitmen EU untuk mencapai matlamat neutral iklim menjelang 2050.
Selain itu, pemeriksaan daya saing baharu akan digunakan untuk menilai inisiatif baharu dengan lebih teliti. Antaranya, menilai kesan projek EU terhadap perbezaan kos berbanding pesaing antarabangsa.
Ketika ini, EU menghadapi persaingan terutamanya dari China dan Amerika Syarikat, yang mana syarikat-syarikat di negara berkenaan mempunyai kelebihan, termasuk dalam aspek harga tenaga.
--BERNAMA-dpa