Pegawai itu berkata, AS menangguhkan dan menyemak semula bantuan bagi memastikan ia benar-benar menyumbang kepada penyelesaian konflik.
"Presiden (Trump) jelas menyatakan bahawa beliau memberi tumpuan kepada keamanan. Kami memerlukan rakan kongsi kami untuk turut komited terhadap matlamat tersebut," kata pegawai itu yang enggan identitinya didedahkan.
Keputusan ini dibuat selepas Trump mengubah dasar AS terhadap Ukraine dan Rusia sejak memegang jawatan pada Januari lalu dengan mengambil pendekatan lebih berlembut terhadap Moscow.
Tindakan terbaharu ini juga berlaku selepas konfrontasi tegang antara Trump dan Zelenskyy di White House pada Jumaat lalu, apabila Trump mengkritik Zelenskyy kerana tidak cukup berterima kasih atas sokongan AS dalam perang menentang Rusia.
Menurut laporan Bloomberg dan Fox News, bantuan akan dihentikan sehingga Trump benar-benar yakin pemimpin Ukraine menunjukkan komitmen yang ikhlas untuk keamanan.
"Ini bukan penamatan bantuan secara kekal, tetapi hanya jeda sementara," kata seorang pegawai pentadbiran Trump kepada Fox News.
Bloomberg turut melaporkan, semua peralatan ketenteraan AS yang belum tiba di Ukraine akan dihentikan sementara, termasuk senjata yang sedang dalam perjalanan melalui kapal terbang dan kapal atau yang sedang menunggu di kawasan transit di Poland.
Trump juga telah mengarahkan Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth untuk melaksanakan jeda ini.
Beberapa jam sebelum laporan ini dikeluarkan, Trump memberitahu wartawan di White House beliau tidak membincangkan tentang penangguhan bantuan ketenteraan kepada Ukraine, tetapi menegaskan, Zelenskyy "perlu lebih menghargai" sokongan AS.
Dalam perang yang hampir mencecah tiga tahun itu, Washington telah menyalurkan berbilion dolar dalam bentuk bantuan kewangan dan ketenteraan kepada Ukraine.
Pada Isnin, Trump sekali lagi mengkritik Zelenskyy selepas laporan Associated Press memetik pemimpin Ukraine itu yang berkata, perang dengan Rusia masih "sangat, sangat jauh" daripada berakhir.
"Ini adalah kenyataan paling buruk yang boleh dibuat oleh Zelenskyy, dan Amerika tidak akan bertolak ansur dengan perkara ini lebih lama lagi!" tulis Trump di platform Truth Social.
Bagaimanapun, Trump memberi bayangan bahawa perjanjian untuk membuka sumber mineral Ukraine kepada pelaburan AS masih boleh diteruskan walaupun beliau kecewa dengan Kyiv.
Pentadbiran Trump melihat perjanjian mineral ini sebagai satu cara untuk AS mendapatkan kembali sebahagian daripada puluhan bilion dolar yang telah disalurkan kepada Ukraine sejak perang bermula tiga tahun lalu.
Apabila ditanya pada Isnin sama ada perjanjian itu telah dibatalkan, Trump menjawab di White House: "Tidak, saya tidak fikir begitu."
Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai "sangat menguntungkan untuk Amerika" dan berjanji akan memberikan perkembangan lanjut mengenai situasi ini pada ucapan beliau di Kongres pada Selasa malam. - Agensi
