WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mempertahankan pelaksanaan tarif baharu ke atas rakan dagang utama seperti Kanada dan Mexico dalam ucapan pertamanya di hadapan Kongres sejak kembali memegang jawatan itu pada Januari lalu, lapor agensi berita Jerman dpa.

Trump berkata langkah itu bertujuan untuk menjadikan "Amerika kaya semula" tetapi mengakui ia mungkin menyebabkan "sedikit gangguan" serta memerlukan "tempoh penyesuaian."

Beliau turut mengesahkan bahawa tarif baharu secara besar-besaran akan dikuatkuasakan pada 2 April.

"Kita telah dieksploitasi selama beberapa dekad oleh hampir setiap negara di dunia, dan kita tidak akan membiarkan perkara itu berulang lagi," katanya.

Tarif sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan Kanada mula dikuat kuasa pada Selasa, manakala tarif import ke atas barangan dari China yang dikenakan pada Februari lalu akan digandakan kepada 20 peratus.

China, Mexico dan Kanada bersedia bertindak balas terhadap kenaikan tarif AS, sekali gus meningkatkan prospek perang perdagangan yang semakin meluas.

-- BERNAMA