SYDNEY: Seorang lelaki Lithuania terpaksa membatalkan cubaannya untuk mendayung merentasi Lautan Pasifik dari California ke Queensland akibat taufan tropika sebelum diselamatkan oleh kapal Tentera Laut Australia dan kini menerima rawatan di atas kapal.

Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia melaporkan bahawa mereka menerima isyarat kecemasan pada Jumaat malam daripada Aurimas Mockus, yang cuba melakukan perjalanan sejauh 12,000 kilometer dari San Diego ke Brisbane apabila dia terperangkap dalam laluan Taufan Alfred di luar pantai Queensland.

Pihak berkuasa memaklumkan bahawa keadaan di kawasan itu "berbahaya dengan angin sehingga 100 km/j dan laut bergelora."

Kapal HMAS Choules milik Tentera Laut Australia akhirnya tiba di lokasi kejadian, kira-kira 6.30 pagi Isnin (2030 GMT Ahad) sekitar 740 kilometer dari pantai Queensland, lapor agensi berita AAP.

"Pelayar solo itu telah diselamatkan dan kini berada di atas HMAS Choules untuk menjalani penilaian perubatan," kata Naib Laksamana Justin Jones dalam satu kenyataan.

Kapal itu kini sedang menuju ke Sydney.

Mockus memulakan perjalanannya dari San Diego pada Oktober dan hampir tiba di destinasi terakhirnya selepas mendayung kira-kira 70 batu nautika sehari, lapor media Australia.

Pelayar British, Peter Bird secara meluas dianggap sebagai orang pertama yang mendayung seorang diri dan tanpa henti merentasi Lautan Pasifik.

Pada 1983, beliau bertolak dari San Francisco ke Australia, namun diselamatkan berhampiran Terumbu Karang kira-kira 50 kilometer dari daratan oleh Tentera Laut Australia selepas 294 hari di laut.

Walaupun cubaan itu gagal kerana beliau terlalu hampir dengan daratan ketika diselamatkan, percubaan itu tetap dianggap berjaya oleh kedua-dua pengadil sukan, The Ocean Rowing Society dan Guinness World Records.

-- BERNAMA