Roman Fedortsov yang mengendalikan bot pukat tunda di Murmansk, barat laut Rusia mendedahkan hasil tangkapan menyerupai makhluk asing itu di bahagian utara Lautan Pasifik menerusi rakaman video yang turut dikongsikan bersama kira-kira 600,000 pengikutnya di media sosial.
Ia telah meraih lebih 200,000 tontonan dan mencetuskan pelbagai teori warganet.
"Ya, ia adalah makhluk asing," kata seorang pengguna media sosial.
Komen serupa juga dinyatakan seorang lagi warganet yang percaya ia adalah 100 peratus makhluk asing.
Ada juga yang melabel ia sebagai watak animasi antagonis, Megamind yang berkepala besar dan The Dark Lord dalam siri Harry Potter.
Makhluk pelik berukuran 44 sentimeter itu dikenal pasti sebagai Aptocyclus ventricosus atau ikan lumpus licin yang ditemui di laut dalam.
Ia dipercayai mengalami 'pembengkakan' seperti kembung berkemungkinan disebabkan perubahan tekanan ketika ia muncul ke permukaan.
Pada tahun lalu, seorang nelayan Amerika Syarikat (AS), Eric Osinkie juga menangkap makhluk pelik seperti belut bergigi di Hudson Valley di New York. - Sinar Harian memetik agensi
