BANGKOK: Kementerian Luar Thailand menerima pengesahan daripada Kedutaan Diraja Thailand di Tel Aviv bahawa lima rakyatnya yang ditahan di Gaza telah dibebaskan pada Khamis.

Dalam satu kenyataan di Facebook, kementerian itu memaklumkan, kesemua rakyat Thailand berkenaan sedang dipindahkan ke hospital untuk menerima rawatan perubatan.

"Pegawai daripada Kedutaan dan Kementerian Luar akan bergerak ke lokasi untuk memberikan bantuan serta segera menghubungi keluarga mereka di Thailand," menurut kementerian itu.

Kementerian Luar Thailand turut mengucapkan tahniah kepada keluarga tahanan yang dibebaskan dan merakamkan penghargaan kepada Qatar, Mesir, Iran, Turkiye, Amerika Syarikat serta negara sahabat lain.

Selain itu, kementerian juga menghargai peranan penting Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan semua pihak yang terlibat dalam usaha pembebasan rakyatnya di Gaza.

Dalam pada itu, Thailand menyeru agar semua baki tahanan, termasuk seorang lagi warganya, dapat dibebaskan secepat mungkin supaya mereka dapat kembali dengan selamat ke tanah air dan berkumpul semula dengan keluarga tersayang.

Terdahulu, Agensi Anadolu melaporkan bahawa lapan tahanan, termasuk empat askar, telah dibebaskan setakat ini sebagai pertukaran bagi 290 tahanan Palestin sejak perjanjina gencatan senjata itu berkuat kuasa.

Di bawah fasa pertama perjanjian itu, seramai 33 tahanan Israel dijadualkan dibebaskan sebagai pertukaran bagi anggaran 1,700 hingga 2,000 tahanan Palestin.

Serangan Israel ke atas Gaza telah menyebabkan lebih 11,000 orang hilang, selain kemusnahan besar dan krisis kemanusiaan yang meragut nyawa ramai warga emas serta kanak-kanak, menjadikannya antara bencana kemanusiaan terburuk di dunia.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap pada November tahun lepas terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant atas tuduhan jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa berhubung serangannya ke atas wilayah itu. - BERNAMA