Kementerian Luar Saudi dalam satu kenyataan menegaskan, pendirian tersebut teguh dan tidak akan berubah.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menyuarakan keyakinan tentang kemungkinan perjanjian damai dengan Riyadh semasa sidang media bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, di White House, Washington, pada Selasa.
"Saya fikir perdamaian antara Israel dan Arab Saudi bukan sahaja mungkin, tetapi ia akan berlaku," kata Netanyahu sambil menegaskan beliau dan sekutunya, Trump komited untuk mencapai hasrat itu.
Dalam sidang media itu juga, Trump mendedahkan, beliau telah berbincang dengan pemimpin-pemimpin Asia Barat mengenai cadangan untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza dan mendakwa idea itu mendapat sokongan.
Namun, hanya sehari sebelum itu, lima Menteri Luar negara Arab serta seorang pegawai kanan Palestin telah menghantar surat bersama kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menolak sebarang rancangan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza.
Surat tersebut ditandatangani oleh Menteri Luar Jordan, Mesir, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta penasihat Presiden Palestin, Hussein al-Sheikh.
Surat itu menyusul usai mesyuarat diplomatik tertinggi di Kaherah hujung minggu lalu yang menegaskan penentangan kuat rantau tersebut terhadap sebarang pemindahan paksa penduduk Palestin.