"Saya tidak melihat sebarang kemungkinan perang dagang. Presiden AS bercakap dengan nada yang berbeza mengenai Mexico semalam," kata Sheinbaum dalam sidang media harian.
Menjawab soalan di Forum Ekonomi Dunia pada Khamis, Trump berkata: "Kami sedang berurusan dengan Mexico dengan baik. Kami hanya mahu dilayan secara adil."
Trump sebelum ini mengancam untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import dari Mexico bermula 1 Februari.
Sheinbaum turut menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kerjasama dengan Washington dan bekerjasama dengan Trump dalam beberapa isu keutamaan seperti pengedaran fentanyl dan migrasi.
Trump telah menandatangani pelbagai perintah eksekutif untuk memperketat langkah anti-imigran melalui tindakan deportasi besar-besaran sejak memegang jawatan.
Sebagai tindak balas, Kerajaan Mexico telah menubuhkan pusat bantuan migran di sepanjang sempadan dan melancarkan program "Mexico Embraces You" untuk memberikan penjagaan menyeluruh kepada mereka yang dihantar pulang. - BERNAMA