Ketika ditanya sama ada beliau mampu menghalang Presiden China, Xi Jinping daripada mengambil alih Taiwan dan mencapai persetujuan mengenai amalan perdagangan yang adil, Trump memberitahu Fox News bahawa Amerika Syarikat (AS) memiliki "kuasa besar ke atas China - iaitu tarif," lapor agensi berita Jerman dpa.
"Mereka tidak mahukannya dan saya juga lebih suka untuk tidak menggunakannya. Ia adalah kuasa besar ke atas China," kata Trump, yang kembali ke White House pada Isnin untuk penggal kedua sebagai presiden selepas mengalahkan Joe Biden dalam pilihan raya pada November.
Trump mengancam China dengan tarif tinggi sejurus selepas memenangi pilihan raya.
Langkah itu akan menambah beban terhadap ekonomi China yang sudah pun terjejas, memandangkan AS adalah pasaran eksport paling penting bagi negara tersebut.
Namun, tarif juga akan membawa kesan di AS, berkemungkinan menyebabkan kenaikan harga yang boleh mencetuskan inflasi - sesuatu yang mahu dielakkan oleh Trump.
Beijing pula mungkin mempertimbangkan bukan sahaja untuk mengenakan tarif ke atas produk AS tetapi juga mengambil langkah balas yang disasarkan, seperti menyekat eksport bahan mentah atau meningkatkan siasatan terhadap syarikat AS yang beroperasi di China.
Secara keseluruhan, hubungan antara kedua-dua kuasa besar itu dijangka akan terus merosot akibat tindakan tersebut. - BERNAMA