Dalam kenyataan terbaharunya, Trump memberi bayangan bahawa beliau bersedia untuk memperluaskan rejim tarifnya ke atas UK dan EU, namun percaya satu perjanjian masih boleh dicapai dengan Britain.
Ketika ditanya BBC pada awal Isnin sama ada UK akan menjadi sasaran tarif AS, Trump berkata:
"UK tidak selaras dengan kepentingan AS, tetapi saya pasti perkara itu boleh diselesaikan."
Trump turut menyifatkan perbincangannya dengan Starmer sebagai positif dan berlangsung dalam suasana baik.
"Kami telah mengadakan beberapa mesyuarat dan sering berhubung melalui telefon. Hubungan kami sangat baik," katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tarif "pasti" akan dikenakan ke atas barangan dari EU, dengan mendakwa defisit perdagangan AS dengan blok itu sebagai "sesuatu yang amat keterlaluan".
Menteri UK sebelum ini mencadangkan bahawa negara itu mungkin terselamat daripada tarif AS kerana tidak mempunyai defisit perdagangan dengan Washington.
Sementara itu, pegawai EU dilaporkan telah mula merangka pelan kontingensi bagi menghadapi ancaman tarif AS. Menurut laporan The Telegraph, beberapa wakil blok itu mengambil pendirian tegas dalam menghadapi kemungkinan perang dagangan dengan AS.
Namun, Starmer dilihat lebih berhati-hati apabila diminta mengulas tindakan Trump.
"Masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan.
"Dalam perbincangan saya dengan Presiden Trump, itulah yang menjadi fokus utama - membina hubungan perdagangan yang kukuh," katanya kepada media.
Trump sebelum ini mengumumkan rancangan untuk mengenakan tarif perdagangan sebanyak 25 peratus ke atas barangan dari Kanada dan Mexico - dua negara jiran serta rakan dagang utama AS - serta levi 10 peratus ke atas barangan dari China.
Sebagai tindak balas, ketiga-tiga negara itu berikrar akan mengambil langkah balas terhadap tindakan AS, mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan tercetusnya perang dagangan global.
Kenyataan Trump ini juga dijangka membayangi lawatan Starmer ke Brussels pada Isnin, dengan beliau dijadualkan menggesa semua 27 pemimpin EU untuk mempertingkatkan tekanan terhadap Presiden Rusia, Vladimir Putin, dalam usaha memperbaharui hubungan Britain dengan blok itu.
Di samping itu, Starmer akan meminta negara-negara EU untuk menanggung lebih banyak beban dalam memberikan bantuan kepada Ukraine, selain menggesa mereka supaya mengikuti langkah UK dan AS dalam mengenakan sekatan ekonomi terhadap Rusia.
-- BERNAMA