Ringkasan AI
- Donald Trump akan minum pagi bersama Joe Biden di White House sebelum majlis angkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat.
- Trump akan menggunakan dua kitab Bible untuk majlis angkat sumpah, termasuk kitab Bible yang digunakan oleh Abraham Lincoln pada 1861.
- Majlis angkat sumpah akan dipindahkan ke dalam bangunan Capitol disebabkan cuaca sejuk, diikuti dengan majlis perpisahan untuk Joe Biden dan Kamala Harris serta beberapa majlis keraian.
Mengikut jadual rasmi, hari bersejarah Trump akan bermula dengan menghadiri upacara keagamaan di gereja. Selepas itu, beliau dijadualkan tiba di White House untuk minum teh bersama Biden.
Trump akan mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 12 tengah hari waktu tempatan (1700 GMT).
Beliau akan menggunakan dua kitab Bible: kitab keluarganya yang diterima pada 1955 dan kitab Bible yang digunakan oleh Abraham Lincoln pada 1861. Bible Lincoln ini hanya digunakan tiga kali sebelum ini - oleh Barack Obama dalam dua majlis angkat sumpahnya dan oleh Trump semasa penggal pertamanya.
Majlis angkat sumpah kali ini dipindahkan ke dalam bangunan Capitol disebabkan cuaca sejuk.
Selepas majlis angkat sumpah, satu majlis perpisahan akan diadakan untuk kepimpinan terdahulu, Biden dan Naib Presidennya Kamala Harris.
Trump kemudian akan menandatangani perintah eksekutif pertama serta membuat pencalonan baharu, selain mengadakan pertemuan dengan kepimpinan Kongres.
Sebuah perarakan kecil penghormatan tentera dan perarakan lain turut akan berlangsung bagi meraikan Presiden baharu.
Trump akan menuju ke White House, di mana beliau dijangka menandatangani beberapa dokumen tambahan di Pejabat Oval.
Hari bersejarah itu akan berakhir dengan tiga majlis keraian: Commander in Chief Ball, Liberty Ball, dan Starlight Ball, dengan Trump dijangka menyampaikan ucapan.
-- BERNAMA