WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Ahad berkata bahawa beliau akan menghentikan bantuan kepada Afrika Selatan sehingga negara itu menyiasat "golongan tertentu" yang didakwanya dilayan "sangat teruk" tanpa memberikan bukti, lapor Xinhua.

"Afrika Selatan sedang merampas tanah, dan melayan golongan tertentu dengan SANGAT TERUK," kata Trump menerusi satu catatan di Truth Social.

"AS tidak akan berdiam diri, kami akan bertindak. Selain itu, saya akan memotong semua pembiayaan yang masih belum disalurkan kepada Afrika Selatan sehingga siasatan penuh mengenai situasi ini selesai!" katanya.

Afrika Selatan belum mengeluarkan sebarang respons terhadap kenyataan Trump.

-- BERNAMA