WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad mengisytiharkan 9 Feb sebagai "Hari Teluk Amerika", lapor Agensi Anadolu (AA).

Trump menandatangani pengisytiharan itu di dalam pesawat Air Force One ketika dalam penerbangan merentasi Teluk Mexico menuju ke New Orleans, Louisiana bagi menghadiri perlawanan Super Bowl.

"Saya menyeru pegawai awam dan seluruh rakyat Amerika Syarikat untuk memperingati hari ini dengan program, upacara dan aktiviti yang bersesuaian," katanya dalam pengisytiharan itu.

Pada 20 Jan, selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-47, Trump menandatangani perintah eksekutif yang mengarahkan Setiausaha Dalam Negeri untuk mengambil semua tindakan sewajarnya bagi menamakan semula Teluk Mexico kepada "Teluk Amerika".

-- BERNAMA