"Kami berharap gencatan senjata dapat dilaksanakan segera dan dapat mewujudkan semula kestabilan di Eropah serta Timur Tengah," lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik kenyataan Trump ketika berucap pada sidang kemuncak pelaburan asing di Miami.
Beliau membuat kenyataan itu ketika mengkritik Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, dengan menuduhnya gagal menguruskan perang dengan Rusia.
"Anda (Zelensky) tidak boleh menamatkan perang jika tidak berbincang dengan kedua-dua pihak. Anda perlu berunding. Mereka sudah tidak berbincang selama tiga tahun," kata Trump.
Beliau turut mengulas laporan mengenai ketegangan antara Washington dan Kyiv susulan dakwaan Zelensky bahawa Trump dipengaruhi oleh "maklumat salah" daripada Rusia.
Selain itu, Trump memuji peranan Arab Saudi dalam menganjurkan rundingan antara AS dan Rusia, sambil menyebut Putera Mahkota Mohammed bin Salman kerana memudahkan apa yang disifatkannya sebagai "perbincangan bersejarah."
"Rundingan itu berlangsung dengan baik. Ini satu langkah besar. Kita perlu menamatkan perang itu," tambahnya.
Dilaporkan, mesyuarat di Arab Saudi itu diadakan bagi membincangkan usaha memperbaiki hubungan AS-Rusia, menyelesaikan konflik Ukraine serta membuat persiapan bagi kemungkinan pertemuan antara Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin. - BERNAMA
