Ringkasan AI
- Trump anggap pelancaran AI DeepSeek-R1 dari China sebagai "amaran" kepada industri teknologi AS.
- DeepSeek-R1 menawarkan model sumber terbuka dan percuma, berbanding ChatGPT yang berbayar.
- Pelancaran DeepSeek menyebabkan kejatuhan nilai pasaran Nvidia dan tekanan pada saham teknologi AS.
"Pelancaran DeepSeek, AI dari syarikat China, seharusnya menjadi amaran kepada industri kita bahawa kita perlu memberi fokus sepenuhnya untuk bersaing dan menang," kata Trump kepada ahli Republikan di Dewan Perwakilan di Miami, Florida.
DeepSeek telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan gergasi teknologi Barat, menawarkan alternatif yang lebih efisien dan kos efektif berbanding ChatGPT OpenAI.
Disokong oleh dana lindung nilai China, High-Flyer, DeepSeek melancarkan model bahasa besar (LLM) DeepSeek-R1 pada 20 Jan.
Berbeza dengan platform ChatGPT yang berasaskan langganan dan tertutup, yang dikenakan bayaran AS$200 sebulan, DeepSeek-R1 adalah sumber terbuka sepenuhnya dan percuma, membolehkan pengguna mengakses dan mengendalikannya pada perkakasan asli tanpa had.
"Saya telah membaca tentang China dan beberapa syarikat di China, satu, khususnya, menghasilkan kaedah AI yang lebih pantas dan jauh lebih murah, dan itu bagus kerana anda tidak perlu membelanjakan wang yang banyak. Saya lihat itu sebagai sesuatu yang positif, sebagai aset," kata Trump.
"Saya melihatnya sebagai positif kerana anda juga akan melakukannya supaya anda tidak membelanjakan begitu banyak, dan anda akan mendapat hasil yang sama, mudah-mudahan."
Presiden itu berkata AS memiliki saintis "terhebat" di dunia, sambil menambah pemimpin China memberitahunya bahawa AS mempunyai saintis "terpintar."
"Kita sentiasa mendahului dengan idea baharu, jadi ini perkembangan positif. Ia membolehkan kita berjimat dan tetap mencapai penyelesaian yang sama," katanya.
Syarikat pemula AI China, DeepSeek R1, mencetuskan penurunan besar dalam saham teknologi pada Isnin dengan pelancaran pembantu AI percuma, yang dikatakan menggunakan data yang lebih sedikit daripada pesaingnya dengan kos yang jauh lebih rendah.
Berita itu membawa kepada kejatuhan mendadak dalam nilai pasaran pengeluar cip AS, Nvidia, lebih daripada US$500 bilion.
Model AI DeepSeek mula digunakan secara meluas di seluruh dunia dalam masa yang singkat, menyebabkan tekanan penjualan yang mendalam terhadap saham teknologi.
Pembantu AI tersebut telah mengatasi pesaing termasuk ChatGPT OpenAI untuk menjadi aplikasi percuma yang paling banyak dimuat turun di AS.
-- BERNAMA