Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyatakan hasrat untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import kenderaan serta kadar serupa terhadap cip semikonduktor dan produk farmaseutikal.

Menurutnya, tarif sektor farmaseutikal dan cip semikonduktor akan bermula pada kadar 25 peratus atau lebih tinggi, dengan peningkatan ketara dalam tempoh setahun.

Trump, bagaimanapun, tidak menetapkan tarikh khusus dan mahu memberi masa kepada syarikat farmaseutikal serta pengeluar cip untuk menubuhkan kilang di Amerika bagi mengelakkan tarif tersebut.

Beliau telah lama mengkritik layanan tidak adil terhadap eksport kenderaan Amerika di pasaran luar terutama kadar tarif Kesatuan Eropah (EU) yang mencapai 10 peratus, empat kali lebih tinggi berbanding kadar 2.5 peratus di Amerika. 

Pada Jumaat, Trump menyatakan tarif ke atas kenderaan akan bermula 2 April, sehari selepas anggota kabinetnya menyerahkan laporan mengenai pilihan tarif bagi pelbagai kategori import.

Sejak dilantik empat minggu lalu, Trump mengenakan tarif 10 peratus ke atas semua import dari China sebagai tambahan kepada tarif sedia ada, berikutan kegagalan China menghentikan penyeludupan fentanyl. 

Beliau turut mengumumkan tarif 25 peratus ke atas barangan dari Mexico dan import bukan tenaga dari Kanada, tetapi menangguhkannya selama sebulan. 

Selain itu, beliau menetapkan 12 Mac sebagai tarikh permulaan tarif 25 peratus ke atas semua import keluli dan aluminium, dengan pengecualian bagi Kanada, Mexico, EU serta rakan dagang lain dimansuhkan. 

Presiden AS juga mengumumkan tarif ke atas ratusan produk keluli dan aluminium, termasuk tiub saluran elektrik serta bilah jentolak.