WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengkritik pemimpin Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, pada Isnin berhubung kenyataan beliau bahawa perjanjian untuk menamatkan perang dengan Rusia masih jauh.

Di platform Truth Social miliknya, Trump memuat naik laporan Associated Press yang bertajuk “Zelenskyy berkata penghujung perang dengan Rusia masih ‘sangat, sangat jauh.’”

“Ini adalah kenyataan terburuk yang boleh dibuat oleh Zelenskyy, dan Amerika tidak akan bertolak ansur dengannya lebih lama lagi!” tulis Trump.

Kenyataan itu dibuat selepas pertembungan Trump dengan Zelenskyy di Pejabat Oval, White House pada Jumaat (28 Feb), sebelum majlis yang dijangka menyaksikan pemeteraian perjanjian mengenai sumber semula jadi Ukraine yang kaya.

Bagaimanapun, perjanjian itu tidak pernah ditandatangani selepas Trump dan Naib Presidennya, JD Vance, mengkritik pemimpin Ukraine itu kerana dianggap tidak bersyukur terhadap bantuan AS dan bersikap tidak hormat.

Sementara itu, pertelingkahan antara Presiden Trump dan Presiden Zelenskyy memberi keuntungan buat Kremlin, meningkatkan harapan Moscow agar bantuan AS kepada Kyiv dihentikan, ketika tentera Rusia terus berusaha memperluaskan penguasaannya di Ukraine.

Pertemuan tegang di Pejabat Oval pada Jumaat yang bertukar menjadi perbalahan - apabila Trump dan Vance menuduh Zelenskyy enggan berunding untuk perdamaian serta mengecamnya kerana tidak bersyukur dengan sokongan AS telah menimbulkan keraguan terhadap hubungan masa depan antara AS dan Ukraine.

Kremlin pantas menggambarkan insiden di White House itu sebagai bukti keengganan Zelenskyy untuk berunding bagi menamatkan konflik yang telah berlarutan selama tiga tahun.

“Apa yang berlaku di White House pada Jumaat jelas menunjukkan betapa sukarnya untuk mencapai penyelesaian di Ukraine,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov.

“Rejim Kyiv dan Zelenskyy tidak mahukan perdamaian, mereka mahu perang ini berterusan.”

Beliau mendakwa, ketegangan yang tercetus di White House itu membuktikan dakwaan Presiden Rusia, Vladimir Putin bahawa Kyiv enggan mengadakan rundingan damai.

Dalam sidang media bersama wartawan, Peskov menambah: “Dalam situasi ini, jelas bahawa usaha Washington dan kesediaan Moscow sahaja tidak mencukupi, ada elemen penting yang masih hilang.” - Agensi