WASHINGTON: Larangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump terhadap penggunaan "dolar digital" menyebabkan AS semakin ketinggalan dalam perlumbaan mata wang digital, sementara China dan Kesatuan Eropah (EU) terus mengorak langkah dengan pembangunan mata wang digital bank pusat (CBDC) masing-masing, lapor Agensi Anadolu (AA).

Trump menandatangani perintah eksekutif bertajuk "Memperkukuh Kepimpinan Amerika dalam Teknologi Kewangan Digital" pada 23 Januari, yang menubuhkan satu kumpulan kerja mengenai pasaran aset digital, termasuk mata wang kripto, di bawah Majlis Ekonomi Negara, serta melarang institusi Amerika daripada membangunkan, mengeluarkan atau menggunakan CBDC.

Perintah itu berpendapat bahawa CBDC boleh mengancam kestabilan kewangan, privasi individu dan kedaulatan AS, sekali gus mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar kewangan dan penyokong mata wang kripto.

Dengan menghalang Rizab Persekutuan daripada mencipta dolar digital, perintah itu berisiko menyebabkan AS semakin jauh tertinggal dalam persaingan teknologi kewangan.

AS kini menjadi negara pertama yang melarang bank pusatnya daripada membangunkan mata wang digital, walaupun Rizab Persekutuan sebelum ini mengambil pendekatan berhati-hati dalam usaha mendigitalkan dolar.

Pakar berpendapat langkah itu memberi kelebihan kepada China dan EU untuk mengukuhkan kedudukan mereka dalam teknologi kewangan.

Kesan jangka panjang keputusan Trump itu masih belum dapat dipastikan, namun kegagalan untuk bersaing boleh melemahkan kedudukan dolar AS di peringkat global.

Berbeza dengan mata wang kripto, CBDC dikeluarkan dan disokong oleh bank pusat, manakala aset kripto seperti Bitcoin dinyahpusatkan dan dikendalikan oleh rangkaian komputer global.

Bank pusat di seluruh dunia, termasuk Bank Pusat Eropah (ECB) dan Bank Rakyat China (PBoC), sedang membangunkan mata wang digital serta sistem pembayaran. Sementara itu, mata wang kripto dan stablecoin seperti Tether (USDT), yang disandarkan kepada dolar AS, terus meningkat popularitinya.

Sehingga September 2024, sebanyak 134 negara dan kesatuan mata wang - yang mewakili 98 peratus daripada ekonomi global - sedang mengkaji CBDC, menurut data Atlantic Council, sebuah badan pemikir Amerika. AS termasuk dalam kalangan negara itu, namun perintah eksekutif Trump telah mengubah kedudukannya sekarang. Pada Mei 2020, hanya 35 negara yang menjalankan kajian mengenai mata wang digital.

Menjelang September tahun lepas, 66 negara telah memasuki "fasa penerokaan lanjutan", termasuk peringkat pembangunan, perintis atau pelancaran, menurut laporan itu.

"Setiap negara G20 sedang meneroka CBDC, dengan 19 daripadanya berada di peringkat lanjutan penerokaan CBDC," menurut laporan itu. "Daripada jumlah itu, 13 negara sudah memasuki fasa perintis," termasuk Turkiye, Rusia, Australia, India, Jepun dan Brazil.

Sementara itu, Bahamas, Jamaica dan Nigeria telah melancarkan CBDC masing-masing.

Laporan itu turut menyatakan bahawa ECB kini berada dalam fasa persiapan untuk euro digital, dengan meletakkan asas dan peraturan bagi CBDC serta memilih penyedia untuk membangunkan infrastruktur platformnya.

Pada Disember, ECB menerbitkan laporan kemajuan kedua, mengumumkan bahawa ia telah menyelesaikan semakan terhadap draf pertama buku peraturan euro digital.

Dalam masa yang sama, PBoC terus memimpin usaha membangunkan rangkaian pembayaran domestik dan rentas sempadan menggunakan mata wang digital. Mata wang digital China, e-CNY (yuan digital), telah dibangunkan sejak 2017.

Sehingga Jun 2024, e-CNY mempunyai sekitar 260 juta pengguna dengan jumlah transaksi bernilai US$986 bilion.

Malah sebelum perintah eksekutif Trump, AS sudahpun ketinggalan di belakang pesaingnya dalam pembangunan mata wang digital.

Rizab Persekutuan sebelum ini meneroka potensi manfaat dan risiko CBDC, dengan Pengerusinya Jerome Powell, menyatakan bahawa bank itu akan mendapatkan kelulusan Kongres sebelum mengeluarkan dolar digital.

Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang pada Mei 2024 bagi menyekat Rizab Persekutuan daripada melancarkan CBDC, namun ia tidak mendapat kelulusan Senat.

Pakar berpendapat bahawa sementara pegawai AS berusaha mengekalkan kestabilan dolar, mereka tersilap apabila menganggap ia tidak memerlukan pemodenan. Rizab Persekutuan berpeluang menetapkan piawaian global bagi sistem pembayaran masa depan, tetapi sikap teragak-agaknya memberi ruang kepada pihak lain untuk mendahului.

Darrell Duffie, ahli ekonomi dan profesor kewangan di Universiti Stanford, memberitahu Agensi Anadolu bahawa perintah eksekutif Trump secara efektif telah menghentikan pembangunan dolar digital, meskipun kemajuan projek itu sudah sedia terbatas.

Duffie berkata tiada perkembangan ketara dalam projek mata wang digital AS, dan sehingga tahun lalu, sokongan politik terhadap dolar digital masih rendah.

Beliau juga menyatakan bahawa kerajaan AS mengambil pendirian lebih tegas menentang CBDC berbanding negara lain, sementara ECB telah mencapai kemajuan besar dalam pembangunan euro digital, dan China telah lama menjalankan projek e-CNY.

Walaupun kesan AS ketinggalan dalam perlumbaan CBDC belum dapat dipastikan, Duffie berkata kekurangan sokongan menunjukkan AS belum bersedia untuk memperkenalkan mata wang digital.

-- BERNAMA