Ringkasan AI
- Presiden Trump mencadangkan pemindahan penduduk Palestin dari Gaza ke Mesir dan Jordan, yang ditentang oleh pentadbiran Biden.
- Trump menyifatkan Gaza sebagai "tapak perobohan" dan mahu negara Arab membina perumahan di lokasi lain untuk penduduk Palestin.
- Perang genosid Israel telah mengorbankan lebih 47,000 penduduk Palestin dan mencederakan lebih 111,000 sejak 7 Oktober 2023.
Bercakap kepada pemberita sebelum berlepas dari Los Angeles ke Miami, Trump berkata beliau telah membangkitkan perkara itu dalam perbualan telefon dengan Raja Jordan Raja Abdullah II manakala Presiden AS itu mungkin bercakap dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sisi pada Ahad.
"Saya berkata kepadanya (Raja Jordan) bahawa saya berharap baginda boleh menerima lebih ramai (penduduk) kerana saya sedang melihat seluruh Semenanjung Gaza sekarang, dan ia kucar-kacir, benar-benar huru-hara," kata Trump.
"Saya mahu baginda (Raja Jordan) menerima penduduk. Saya mahu Mesir menerima penduduk. Saya akan bercakap dengan Jeneral Al Sisi esok, saya percaya. Saya mahu Mesir dan Jordan menerima penduduk," tambah Trump.
"...Anda tahu selama berabad-abad kawasan itu mengalami banyak konflik. Dan saya tidak tahu, sesuatu perlu dilakukan," katanya lagi.
Menyifatkan Gaza sebagai tapak perobohan, Presiden AS itu berkata: "Hampir semuanya musnah, dan orang ramai sedang mati di sana.
"Jadi, saya lebih suka melibatkan beberapa negara Arab untuk membina perumahan di lokasi lain di mana mereka mungkin boleh hidup dengan aman untuk perubahan."
Beliau menambah bahawa langkah itu "boleh bersifat sementara atau mungkin jangka panjang."
Pentadbiran Biden sebelum ini menentang pemindahan penduduk Gaza keluar dari wilayah itu, sebaliknya menyokong penduduk Gaza kembali ke kediaman mereka selepas tercapainya keamanan dan penyelesaian dua negara.
Perang genosid Israel telah mengorbankan lebih 47,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 111,000 yang lain sejak 7 Okt 2023.
-- BERNAMA