"Saya mahu tahu tentang dua pembunuh itu," kata Trump kepada New York Post.
"Kenapa seorang daripada mereka mempunyai enam telefon bimbit dan kenapa seorang lagi ada aplikasi (asing)?"
Trump menegaskan bahawa beliau berhak mengetahui perkara itu.
"Tiada lagi alasan kerana (Joe) Biden," katanya. "Saya berhak tahu. Dan mereka telah menyembunyikannya terlalu lama."
Percubaan membunuh Trump kali pertama berlaku semasa kempen di Pennsylvania pada 13 Julai 2024.
Dalam kejadian itu, Trump terkena tembakan di telinga, seorang penonton terbunuh dan dua yang lain cedera.
Perkhidmatan Rahsia AS memaklumkan bahawa mereka menembak mati seorang suspek, Thomas Matthew Crooks, 20, yang melepaskan beberapa das tembakan ke arah pentas.
Suspek bersembunyi di atas bumbung sebuah bangunan industri kira-kira 100 meter dari pentas, di luar kawasan acara.
Pada Oktober 2024, sebuah suruhanjaya bebas yang menyiasat serangan itu mendapati terdapat pelbagai kegagalan dalam operasi Perkhidmatan Rahsia AS, yang akhirnya menyebabkan serangan itu tidak dapat dicegah.
Cubaan kedua membunuh Trump berlaku pada 15 Sept 2024, berhampiran kelab golfnya di Florida.
Menurut pihak berkuasa, pegawai Perkhidmatan Rahsia melepaskan tembakan ke arah penyerang yang bersembunyi di semak.
Pihak berkuasa menemukan senapang AK-47 dengan teropong, dua beg galas, dan sebuah kamera GoPro di lokasi serangan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)