WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menafikan laporan mengenai pergeseran besar antara Setiausaha Negara Marco Rubio dan Elon Musk berhubung pengurangan besar-besaran tenaga kerja persekutuan dalam mesyuarat kabinet baru-baru ini, lapor Xinhua.


Ringkasan AI
  • Presiden Donald Trump menafikan laporan mengenai pergeseran antara Setiausaha Negara Marco Rubio dan Elon Musk berhubung pengurangan tenaga kerja persekutuan.
  • Trump menyatakan bahawa Elon Musk dan Marco Rubio menjalankan tugas dengan cemerlang dan tiada pergeseran antara mereka.
  • Sejak Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diketuai Musk mula beroperasi, lebih 30,000 pekerja persekutuan AS telah diberhentikan, dengan kira-kira 75,000 pekerja menerima pelan "buyout".


Dalam mesyuarat kabinet pada Khamis perbincangan tegang bermula apabila ketua pemotongan kos Trump, Musk, mengkritik Rubio kerana tidak melaksanakan pengurangan kakitangan yang ketara di Jabatan Negara, malah menuduh Rubio tidak memecat "seorang pun," menurut laporan The New York Times pada Jumaat.

Sebagai tindak balas, Rubio menegaskan bahawa lebih 1,500 pegawai Jabatan Negara baru-baru ini bersara awal melalui skim pemisahan sukarela, sambil bertanya sama ada Musk mahu beliau mengambil semula mereka hanya untuk dipecat sekali lagi.

Bagaimanapun, Trump menepis laporan mengenai pergeseran antara Rubio dan Musk ketika ditanya oleh seorang wartawan pada Jumaat di Pejabat Oval, menurut laporan CNN.

"Tiada pergeseran, saya berada di sana," kata Trump. "Elon dan Marco menjalankan tugas dengan cemerlang."

Pada Khamis, Trump berjanji untuk menggunakan pendekatan "pisau bedah" dan bukannya "kapak" berhubung pengurangan tenaga kerja persekutuan, satu kenyataan yang dibuat ketika rasa tidak puas hati dan kritikan terhadap pemberhentian pekerja secara agresif semakin memuncak dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

"Tindakan Trump untuk menyokong Musk secara terbuka tetapi pada masa sama mengawal pendekatannya yang tidak terarah mencerminkan kegelisahan yang semakin meningkat dalam kalangan anggota Republikan terhadap tindakan agresif Musk terhadap kerajaan persekutuan serta sikap sinisnya bukan sahaja terhadap birokrasi tetapi juga tenaga kerja itu sendiri," menurut laporan The New York Times.

"Beberapa anggota kabinet menyuarakan kebimbangan kepada Rumah Putih mengenai keadaan huru-hara akibat pendekatan 'bersedia, pecat, sasarkan' yang diambil Musk dalam pengurangan tenaga kerja, menurut beberapa individu yang diberi taklimat mengenai perkara itu," menurut laporan berkenaan.

Sejak Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) yang diketuai Musk mula beroperasi pada akhir Januari, lebih 30,000 pekerja persekutuan AS diberhentikan di seluruh negara, menurut laporan media. Rumah Putih sebelum ini menyatakan kira-kira 75,000 pekerja persekutuan menerima pelan "buyout" yang menawarkan mereka lapan bulan gaji untuk "peletakan jawatan tertunda".

-- BERNAMA